Sunday, June 5, 2011

Rasuah - Cara Menangani Rasuah.....

Post ni saje je saya letak sebab semata-mata nak update blog yang dah lama tak diupdate ni..... This essay memang sendiri punya buat untuk Pertandingan Esei Integriti....





            Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang itu mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan dari pihak berkuasa atau sesebuah organisasi selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Mayapada, isu rasuah yang membabitkan pegawai kerajaan berprofil tinggi sering terpampang dan seolah-olah menjadi penghuni tetap di dada akhbar-akhbar tempatan setiap hari. Acap kali juga kes rasuah ini dilaporkan dalam berita di kaca televisyen. Hal ini jelas sekali memberi indikasi bahawa masalah rasuah semakin menular dalam kalangan rakyat di negara Malaysia dan perkara ini sememangnya amat membimbangkan. Bukan sahaja para pentadbir negara, justeru masyarakat juga turut merasai kesannya kerana fenomena rasuah  sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah di sesebuah negara itu, semakin rendahlah persepsi masyarakat luar terhadap keupayaan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu khususnya dalam bidang ekonomi. Nilai integriti sesebuah masyarakat juga akan terhapus dengan berleluasanya isu rasuah ini. Rentetan daripada itu, lumpuhlah segala aspek pembangunan dalam negara ini.
Masalah rasuah yang semakin bermaharajalela ini wujud akibat dari pelbagai faktor. Punca yang ketara tentang gejala ini seringkali dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan yang dikatakan tidak mempunyai satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram ini. Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada dalam kalangan masyarakat yang menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala rasuah ini, tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini. Jadi, apakah prakarsa-prakarsa yang boleh diambil oleh semua pihak dalam menangani fenomena rasuah seterusnya menjadikan negara Malaysia sifar rasuah?
Salah satu langkah yang seyogia diambil oleh pihak kerajaan ialah membuktikan kesungguhan dan iltizam mereka dalam mengatasi kemelut yang melanda ini dengan menahan, mendakwa, dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan, harta, dan pangkat yang mereka ada kerana mungkin apa sahaja yang mereka ada  bersumberkan wang haram dari hasil rasuah itu sendiri. Hal ini demikian kerana rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu terutamanya yang bergelar VIP ini mengambil rasuah tetapi mereka tidak dibawa ke muka pengadilan. Perkara sebegini akan menimbulkan rasa tidak percaya rakyat akan keikhlasan dan ketelusan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa dan menyeret mereka yang terlibat dalam jenayah ini ke mahkamah akan memberi satu amaran agar mereka tidak mengambil sebarang bentuk rasuah pada peringkat awal. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan dan menakutkan individu yang lain untuk melakukan jenayah ini.
Selain itu, kerajaan juga mestilah melaksanakan undang-undang dan hukuman yang lebih tegas lagi kepada pesalah-pesalah rasuah ini. Marcapada, tindakan mahkamah yang mengenakan hukuman yang dianggap tidak begitu tegas dan tidak setimpal kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberi satu pandangan negatif rakyat terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara sekalipun jika mereka tertangkap. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang dan hukuman yang lebih ketat akan menyedarkan masyarakat betapa bahaya dan seriusnya masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung dengan segera kepada keselamatan negara. Selain itu, para pengamal rasuah juga akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran mengetahui dan takut akan hukuman berat yang bakal diterima apabila mereka ditangkap. 
Di samping itu, usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat serta memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya terlibat dengan rasuah boleh dicapai menerusi satu kempen dan iklan yang mapan dan efektif. Kempen dan iklan yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa dan elektronik secara holistik iaitu daripada akhbar, radio, televisyen hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat tidak kira tua atau muda menerima kempen tersebut. Tambahan pula, pada era kemodenan dunia kini, masyarakat terutamanya golongan remaja lebih banyak mendapatkan segala maklumat terkini melalui internet berbanding bahan bacaan. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan yang mendalam atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Selain itu, pihak yang terlibat juga seharusnya turun padang dengan menjayakan kempen pencegahan rasuah dalam apa-apa sahaja karnival dan pameran yang diadakan.  Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam perang membanteras amalan rasuah ini.
Seterusnya, bahaya amalan rasuah ini juga perlu diterapkan dalam sistem pendidikan di sekolah rendah dan menengah khususnya dalam subjek Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan. Nilai kebencian yang tinggi terhadap amalan rasuah dapat ditanam dan dihayati dalam diri seseorang pelajar sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Generasi yang dididik supaya benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas serta berintegriti. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah. Bukan sahaja dari segi akademik, malah nilai benci akan rasuah juga dapat dipupuk melalui program bukan akademik yang dihadiri oleh pelajar. Sebagai contoh, seramai 450 pelajar Maktab Rendah Sains MARA ( MRSM ) dari seluruh Malaysia telah menghadiri program Integrity Champion Challenge yang diadakan di MRSM Baling pada awal Januari yang lalu. Semasa program berlangsung, seramai hampir 50 orang pelajar diletakkan di bawah kumpulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ). Melalui kumpulan ini, mereka diberi informasi tentang isu rasuah serta dididik untuk membenci amalan rasuah ini serta pentingnya penghapusan rasuah untuk pengekalan nilai integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, tidak dapat tidak, sistem pendidikan negara perlu menekankan keburukan rasuah terhadap individu, masyarakat, dan negara.
Masyarakat yang berintegriti juga perlu membantu secara tidak langsung dalam menangani fenomena rasuah ini. Sesiapa sahaja yang mengetahui tentang kes rasuah yang berlaku di sekeliling perlu melaporkan segera hal yang berlaku kepada pihak SPRM untuk dijalankan siasatan. Masyarakat tidak perlu terkongkong dengan peribahasa menjaga tepi kain orang seterusnya membutakan mata dan memekakkan telinga sahaja apabila jenayah rasuah berlaku seperti orang yang tidak tahu peraturan dan undang-undang negara. Mereka seharusnya mempunyai minda yang positif dan berfikir untuk kesejahteraan dan keamanan negara dalam menghadapi situasi seperti ini. Di samping itu, sesiapa yang disogok dengan wang atau sebagainya untuk tujuan rasuah juga perlu melaporkan hal ini tanpa rasa ragu ataupun takut kepada pihak SPRM.  Mereka tidak perlu berasa takut kerana segala identiti dan maklumat yang diberikan akan dirahsiakan. Sesungguhnya, mereka ini telah menjadi sebahagian daripada mata-mata dalam menghapuskan penjenayah-penjenayah rasuah pada masa kini.
Akhir sekali, untuk mengatasi masalah rasuah ini., keimanan dan jati diri dalam setiap individu perlu dimantapkan dan diperkukuh kerana keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah ini. Apabila seseorang individu itu taat dan patuh kepada agamanya, gejala rasuah ini tidak mungkin akan berlaku. Hal ini kerana setiap agama tidak memerintahkan penganutnya untuk berbuat jahat. Individu ini juga perlulah mempunyai kesedaran diri dan motivasi yang tinggi tentang amalan rasuah yang mempunyai banyak keburukannya. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada mereka itu adalah rakyat biasa, ahli politik, peniaga, atau jentera kerajaan, maka amalan rasuah dapat diatasi sehingga mencapai angka sifar. Kekuatan iman dan jati diri yang tinggi dapat menangkis nafsu jahat untuk menerima habuan rasuah daripada sesiapa sahaja sekali pun tiada orang yang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa kesedaran diri yang tinggi amat penting dalam usaha untuk membanteras jenayah rasuah di Malaysia ini.
Secara intiha, prakarsa untuk mengatasi kemelut sosial ini perlu diberi perhatian dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma dan persepsi masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika ingin melihat masalah ini dapat diatasi sehingga ke akar umbinya sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang berbunyi, “ … Sesungguhnya Aku tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sebelum kaum itu mengubah keadaan diri mereka dahulu…”. Selain itu, semua pihak perlu menggembleng tenaga dan berkolaborasi dalam memastikan isu ini dapat ditangani. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara Malaysia sebagai satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Rentetan daripada hal ini, ekonomi serta pembangunan negara akan mengalami kemerosotan. Dalam hal ini, mungkin sekali konsep mencegah lebih baik daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya dan sekali gus masyarakat yang berintegriti tinggi dapat diwujudkan. Oleh itu, bersama-samalah kita membanteras rasuah untuk kesejahteraan warga 1 Malaysia.

1 comment:

  1. assalamualaikum..mohon copy untuk dijadikan bahan pengajaran saya..terima kasih

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...